Saturday, February 21, 2009

PEMBENTUKAN IDEA


IDEA merupakan keupayaan pemikiran seseorang pengkarya yang membabitkan kesedaran, sensitiviti kepekaan individu tersebut. Idea terhasil dari aspirasi, pemikiran, pergerakan dan imaginasi seseorang. Dari idea boleh menghasilkan karya dan meluahkan perasaan serta hasrat yang diimpikan melalui hasil karya yang dihasilkan.

AHMAD HAFIZUDDIN ZAINALABIDIN
(6 RENDAH ETIKA - MSAB)
17 SEPTEMBER, 2008
PEMBENTUKAN IDEA boleh didapati melalui media massa. Terdapat 2 jenis media massa iaitu media cetak dan media elektornik. Media cetak merupakan alat atau saluran komunikasi yang berupa bahan cetakan atau terbitan seperti surat khabar, majalah dan lain-lain. Media elektronik pula merupakan alat atau saluran komunikasi yang menggunakan alat-alat elektronik moden seperti radio, televisyen dan lain-lain.
LOW BEE SIAN
(6 RENDAH ETIKA - MSAB)
19 SEPTEMBER, 2008
Kekuatan sesuatu pembentukan idea wajar mempunyai hubungan yang erat dan mantap dalam penghasilan karya disamping media atau teknik yang digunakan. Karya yang menarik memerlukan perancangan dan tujuan karya itu dihasilkan dan menyampaikan sesuatu keinginan mengikut tema yang dipilih.
YING YING
(6 RENDAH ETIKA - MSAB)
19 SEPTEMBER, 2008

Tuesday, February 17, 2009

KEINDAHAN KARYA SENI


Proses penghasilan karya seni akan melibatkan 3 aspek iaitu :-

Hal benda - merupakan sumber idea yang utama dalam menghasilkan sesuatu karya seni.

Komposisi - ia melibatkan reka letak yang berkaitan unsur seni dan prinsip rekaan dalam penghasilan karya. Selain itu, penguasaan teknik dan media juga memainkan peranan yang utama dalam berkarya.

Kandungan - Aspek ini mengandungi 3 elemen yang utama dalam berkarya iaitu:-

a. Tema - Merupakan perkara utama yang perlu difikirkan oleh seseorang sebelum berkarya.

b. Makna - Setiap penghasilan karya seharusnya dapat menyatakan maksud sesuatu karya supaya peminat seni atau masyarakat akan dapat memahami hasrat yang disampaikan.

c. Fungsi - Setiap hasil karya mempunyai tujuan yang dapat dihayati apabila masyarakat menilainya. Oleh itu, peranan pemerhatian dan pengamatan adalah penting untuk memahami fungsi yang dinyatakan.

Dalam menhayati kesempurnaan sesuatu keindahan penghasilan karya, kekuatan pancaindera

dan keupayaan intelek memainkan peranan utama untuk membuat penilaian terhadap karya yang

dihasilkan.

P&P DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL

P&P dalam mata pelajaran PSV di sekolah dapat mewujudkan kemampuan pelajar untuk menguasai dan mengembangkan kemahiran mereka dalam beberapa aspek. Di antaranya ialah;
A. PENGAMATAN
Menurut Md. Nasir Ibrahim dan Iberahim Hassan (2003) bahawa mata pelajaran PSV dalam meningkatkan sifat pengamatan yang istimewa. Kemampuan pengamatan ini boleh dibahagikan kepada 4 kemampuan iaitu:-
a. Mendapatkan Ilmu Pengetahuan
Melalui pengamatan kita mengetahui sesuatu kerana ia melibatkan objek atau imej yang dilihat akan memberikan kita maklumat yang baru ketika berfikir atau meneroka seterusnya memanipulasikan karya kepada bentuk visual yang baru.
b. Menyelesaikan Masalah
Melalui proses pengamatan yang berlaku terhadap pelajar dapat menyelesaikan masalah sesuatu perkara dalam penghasilan karya dalam memahami tema atau persoalan yang hendak disampaikan.
c. Menggambarkan Proses
Kepekaan terhadap pengamatan akan mengukuhkan lagi pemikiran pelajar melakukan sesuatu karya seni yang sistematik berasaskan kepada asas seni reka sebagai fokus utama.
B. KOGNITIF
Kognitif merupakan satu proses pemikiran minda dalam mendapatkan ilmu, menyimpan, mengingat dan menggunakannya. Kekuatan kognitif dapat mempengaruhi pelajar mengetahui dan memahami serta memperolehi maklumat apabila mereka berinteraksi dengan persekitarannya. Keupayaaan kognitif ini akan memberikan satu ruang intelek pelajar yang baru apabila wujudnya rangsangan pengetahuan sedia ada dengan situasi persekitaran atau maklumat yang baru melalui proses penilaian. Keadaan sedemikian akan menggalakkan proses pembelajaran pelajar sama ada secara langsung atau tidak langsung.
C. KREATIVITI
Dalam meningkatkan potensi kreativiti pelajar, ciri-ciri kreativiti yang digunakan merujuk kepada Avril (2002) yang menekankan konsep kreativiti dalam penghasilan karya adalah seperti berikut:-
a. Perkembangan idea - menggalakkan membuat andaian dan imaginasi, meneroka da mempersembahkan berbagai idea.
b. Mewujudkan perhubungan - menggalakkan persaingan dalam membangunkan idea dan projek melalui perhubungan yang sempurna dengan maklumat, sumber dan masyarakat.
c. Penciptaan dan penghasilan - membuat penumpuan terhadap penghasilan yang bermakna dan bergaya dengan memanipulasi pelbagai media.
d. Bekerjasama - bekerjasama dengan cara yang dinamik dalam pelbagai peringkat untuk membina dan berkongsi pengetahuan bagi mendapatkan hasil kerja yang sempurna.
e. Komunikasi dan penilaian - mempamerkan hasill kerja dengan tujuan untuk aktiviti apresiasi dan dinilai oleh peminat seni atau masyarakat.

Sunday, February 8, 2009

PENDIDIKAN SENI VISUAL

Selamat datang ke blog saya yang akan memuatkan infomasi mengenai mata pelajaran Pendidikan Seni Visual bermula dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah atas. Saya berharap informasi yang diberikan dapat membantu anda dalam mencari penyelesaian atau membantu tugasan anda yang berkaitan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.Nantikan informasi saya yang akan datang ...